|
|
|
|
|
Perception
Malaysia Kayaks |
Kamera: Kami tiba di Temerloh jam 11:45 pagi dan terus mengambil Mahin. Kami pergi makan tengahari lauk ikan patin sangkar masak tempoyak di Gerai Pak Yusof di benteng Sungai Pahang. Bendahari kami membayar RM 126.00 untuk semua - 17 orang semuanya. Setelah selesai makan kami bergerak ke Kuala Tahan pada jam 01:15 petang. Kami tiba di Kuala Tahan pada jam 03:30 petang dan terus memunggah keluar kayak dan semua peralatan. Lori dan satu unit van DBKL pulang ke Kuala Lumpur sementara satu lagi unit van DBKL tinggal untuk menjadi unit sokongan darat kami. Oleh kerana kami bercadang untuk mula mendayung jam 07:30 pagi ke esokkan harinya, bendahari kami menempah makanan sarapan dan tengahari dengan Mak Cik Wan. Kami memerlukan makanan berkenaan pada jam 06:30 pagi. 01hb. Januari 2005 (Hari pertama ekspedisi - Kuala
Tahan ke Jerantut Ferry, 63km) Kira-kira jam 06:00 pagi kami bangun tidur dan membuat persiapan. Semua peserta telah siap persiapan mereka tapi Mak Cik Wan tak nampak batang hidung lagi. Jam 07:15 barulah nampak Mak Cik Wan bergegas ke gerai makan rakit miliknya untuk membuat sarapan dan makan tengahari kami. Kira-kira jam 08:15 pagi barulah sarapan siap. Kami pun sarapan dengan pantasnya. 08:30 pagi Jai mengetuai aktiviti warm up. Kami mula mendayung ke hilir menghala Kuala Tembeling jam 08:45 pagi. Jam 10:30 pagi kami tiba di Kuala Atok. Dahulu tempat ini adalah penempatan orang asli suku Batik. 15 minit kemudian kami tiba di Kuala Tekai. Sinilah penempatan kekal baru untuk orang asli tempatan. Jam 01:00 petang kami tiba di jeram. Kami berhenti mendarat untuk makan tengahari. Kami dapati kawasan sungai di jeram berkenaan semakin luas dan jeram ada di sebelah kiri sementara sebelah kanan laluan tanpa jeram. Kami memulakan semula dayungan pada jam 01:30 petang dan kami tiba di Kuala Tembeling pada jam 02:15 petang. Kami membenarkan Mahin dan Nasser untuk mendarat di Kuala Tembeling kerana mereka telah keletihan. Untuk mereka meneruskan ekspedisi adalah satu risiko bagi kami. Kami tiba di kawasan Kg. Kuala Teh jam 03:50 petang dan terus menghala ke Jerantut Ferry. Kami tiba di Jerantut Ferry pada jam 05:30 petang. Setelah memunggah kayak ke darat, Jai mengetuai aktiviti cool down dengan cara duduk. Kami semua keletihan untuk melakukan senaman. Kami telah dibenarkan untuk berkhemah di kawasan Balai Polis Jerantut Ferry yang jauhnya kira-kira 100 meter dari jeti. kami bersyukur dibenarkan berkhemah di kawasan berkenaan kerana ada kemudahan tandas dan air untuk kegunaan semua peserta. Bendahari kami telah membuat tempahan sarapan dan makan tengahari dengan makcik di balai polis berkenaan. Makan malam di Bandar Jerantut. 02hb. Januari 2005 (Hari Kedua Ekspedisi - Jerantut
Ferry ke Temerloh, 80km) Jam 07:15 pagi kami memunggah turun kayak dari balai polis Jerantut Ferry ke jeti. Sekarang hanya tinggal 11 orang pendayung dengan 8 kayak. Tiga orang peserta - Mahin, Nasser dan Tina - tidak dapat meneruskan ekspedisi ini. Nasser kini jadi jurugambar kami dengan kamera Nikon D70 miliknya. Jam 07:45 pagi, Saum mengetuai aktiviti warm up. Kami memulakan kayuhan pada jam 08:00 pagi. Setibanya kami di kawasan Pulau Tawar, seorang tempatan menegur kami tentang buaya tembaga di Lubuk Pelam. Walau bagaimana pun, Lubuk Pelam ini juga menjadi tarikan pemancing ikan Temoleh. Orang tempatan panggil ikan berkenaan ikan Temalian. Kami tiba di Lubuk Pelam jam 11:00 pagi dan mengambil keputusan untuk makan tengahri di situ. Jam 11:30 pagi kami menyambung dayungan kami ke Kuala Kerau. Kami tiba di Kuala Kerau tepat jam 01:00 petang. Kami berehat sebentar dan bergambar. Kami meneruskan perjalanan pada jam 01:30 petang dan tiba di Jeti Jenderak pada jam 02:00 petang. Kami terus ke Temerloh dan tiba di Jeti Temerloh pada jam 05:45 petang. |
|
|
|